Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

Jenayah juvana perlu dipandang serius

Forum Utusan Malaysia ( 24 Dis 2008 )

GEJALA jenayah di kalangan pelajar bukan isu baru yang ingin dibincangkan. Menurut Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, 5,543 kes dilaporkan melibatkan jenayah juvana pada tahun 2004. Baru-baru ini, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia menyatakan lebih 3,000 pelajar sekolah menengah ditahan kerana terbabit dalam pelbagai kesalahan jenayah sepanjang tahun lepas.

Fenomena ini hendaklah dipandang serius oleh semua pihak, lebih-lebih lagi kelompok pelajar ini merupakan generasi yang akan mencorak negara pada masa akan datang. Adakah kita sanggup melihat negara yang kita cintai ini dirosakkan oleh anak-anak dan cucu-cicit kita sendiri? Sudah pasti jawapannya tidak, dan kita sentiasa berdoa kepada tuhan supaya keluarga kita tidak terlibat dengan gejala tersebut.

Setiap orang mengimpikan kehidupan yang aman damai dan sejahtera tetapi adakah kita pernah bertanya kepada diri sendiri apakah usaha yang telah kita lakukan bagi mencapai matlamat tersebut atau adakah kita hanya pandai menuding jari menyatakan kesalahan pihak-pihak tertentu apabila jenayah tersebut berlaku.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kadar indeks jenayah di negara ini dijangka meningkat pada tahun depan berikutan ramai yang hilang pekerjaan akibat kesan krisis ekonomi dunia. Beliau turut menyatakan aktiviti jenayah telah meningkat dengan kadar 5 peratus antara tahun 2007 dan 2008.

Pepatah Melayu ada menyebut, 'melentur buluh biarlah pada rebungnya,' manakala pepatah Arab pula menyebut, 'mencegah lebih baik daripada merawat'. Apa yang ingin saya cadangkan di sini adalah pihak Kementerian Pelajaran hendaklah memperkasakan pendidikan kerohanian di kalangan pelajar-pelajar sekolah bermula dari peringkat rendah hingga peringkat menengah.

Ini bukan bermaksud, tanggungjawab sepenuhnya diletakkan kepada pihak kementerian pelajaran semata-mata tetapi ia merupakan salah satu alternatif di samping pihak-pihak lain menggembleng usaha dan tenaga bagi membanteras gejala tersebut.

Cadangan ini dilihat bersesuaian dengan usaha pihak kerajaan yang bercadang untuk merombak kurikulum pendidikan di sekolah menjelang tahun 2010.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom, antara tujuan rombakan tersebut adalah bertujuan menilai kebolehan pelajar secara lebih menyeluruh serta adil dan bukannya berdasarkan peperiksaan semata-mata. Ia juga bertujuan untuk menghasilkan modal insan yang mempunyai lebih keterampilan, daya saing dan keyakinan diri yang tinggi, di samping mampu menempatkan diri mereka dalam suasana dunia lebih mencabar nanti.

Oleh itu, saya berpandangan sudah tiba masanya subjek yang berbentuk kerohanian seperti pendidikan Islam dan pendidikan moral dinilai dari sudut keberkesanannya. Modul atau silibus pengajaran tersebut hendaklah lebih bersifat praktikal dan menarik berbanding sekarang yang lebih kepada teori dan hafalan semata-mata.

Secara tidak langsung, ia menimbulkan penghayatan dan minat di kalangan pelajar. Seterusnya menjadi bekalan atau penampan kepada para pelajar daripada terjebak ke dalam gejala jenayah yang durjana.

MOHD. KHAIRULHIDAYAT BERAHIM

Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka UM

Pastikan pelaksanaan subjek sejarah bukan sekadar untuk lulus peperiksaan

Langkah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memasukkan mata pelajaran Sejarah sebagai mata pelajaran khusus diperingkat sekolah rendah menjelang 2010 hendaklah diteliti dan diperhalusi.

Kenyataan Menteri Pelajaran untuk memperincikan fakta dan maklumat yang akan dimasukkan ke dalam subjek Sejarah merupakan satu tindakan yang tepat.

Perbincangan dengan tokoh–tokoh pendidikan, badan pertubuhan bukan kerajaan, persatuan sejarah, kesatuan guru, majlis guru besar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru hendaklah dilaksanakan dengan segera.

Perbincangan ini penting supaya pelaksanaan tersebut tidak membebankan guru, pelajar dan ibu bapa.

Buat masa sekarang pelajar–pelajar sekolah rendah sudah pun mengikuti 11 mata pelajaran termasuk empat daripadanya dinilai menerusi Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Justeru, perbincangan secara telus dan teliti amatlah diperlukan supaya pelaksanaan tersebut tidak mengundang masalah yang lebih besar.

Di samping itu, keberkesanan pelaksanaan subjek tersebut hendaklah dilihat secara menyeluruh supaya subjek sejarah ini bukan sekadar untuk kelulusan peperiksaan semata–mata.

Apa yang paling penting untuk ditekankan adalah objektif utama pelaksanaan tersebut iaitu menanamkan semangat patriotisme, cintakan tanah air dan menghayati pengorbanan pejuang – pejuang tanah air.

Memetik kata–kata Perdana Menteri yang menyebut sejarah bangsa dan negara kita amat bernilai untuk difahami, kita perlu belajar daripada sejarah, jika tidak kita mungkin mengulangi kesilapan lampau.

Sejarah juga adalah elemen penting dalam peradaban bangsa. Generasi muda perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah bangsa dan pembangunan negara.

Kementerian Pelajaran juga perlu memastikan agar subjek sejarah menarik untuk dipelajari sesuai dengan umur pelajar. Kepelbagaian method pengajaran hendaklah dilaksanakan.

Sebagai contoh, penayangan filem berbentuk patriotisme dan lawatan ke tempat – tempat bersejarah mungkin boleh membantu pelajar menjiwai subjek tersebut.

Diharap semoga pelaksanaan tersebut menjadi salah satu mekanisme untuk mengukuhkan perpaduan dikalangan masayarakat yang berbilang kaum dinegara ini terutama kepada generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.

Mohd Khairul Hidayat Berahim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya (PERSAMA)

Muzium pelajaran iktiraf peranan guru


INISIATIF kerajaan mahu menubuhkan Muzium Pelajaran Negara (MPN) perlu disokong semua pihak. Menurut tokoh pendidikan, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim “kewujudan Muzium Pelajaran Negara hendaklah disegerakan sebagai pusat sehenti untuk pameran alam pendidikan negara”. Ia dilihat bersesuaian dengan aspirasi negara yang ingin melonjakkan pendidikan negara ke tahap dunia.

Kewujudan MPN ini bukan sahaja sebagai sebuah tempat pameran, malah ia boleh dimartabatkan sebagai pusat sumber rujukan keguruan kebangsaan di mana tersimpan hasil penyelidikan dan rekod berkaitan Guru Cemerlang bagi peringkat negeri, Guru Gemilang dan Guru Terbilang.

Muzium merujuk kepada bangunan tempat menyimpan khazanah sejarah lampau atau yang lalu. Muzium penting sebagai tempat kita merujuk sekiranya kita ingin mengetahui sejarah lampau. Dengan merujuk takrifan muzium itu , secara tidak langsung membantu kerajaan memupuk nilai patriotik dalam diri pelajar khususnya dalam bidang pendidikan apabila wujudnya MPN.

Bagi warga pendidik, MPN boleh dianggap sebagai suatu inspirasi untuk terus iltizam dalam mendidik anak bangsa apabila melihat sejarah atau dokumentasi guru cemerlang yang berjaya membantu negara melahirkan modal insan berkualiti dan berguna kepada negara. Warga pendidik juga boleh menjadikan MPN ini sebagai pusat percambahan ilmu dengan mengadakan aktiviti seminar, bengkel dan ceramah yang berkaitan dengan MPN pada peringkat dalam dan luar negara.

Dengan adanya MPN, masyarakat akan lebih mengenali dan memahami sistem pendidikan negara seterusnya menjadi pendorong kepada masyarakat untuk mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat. Selain itu, masyarakat juga boleh menyumbangkan idea atau saranan kepada warga pendidik memperbaiki sistem pendidikan yang sebelum ini dilihat agak eksklusif.

Justeru, dengan kehadiran MPN ini diharap dapat menjadi satu daripada faktor utama penyumbang kejayaan pembinaan negara bangsa selaras hasrat Kementerian Pelajaran yang ingin melahirkan masyarakat Malaysia mengamalkan sikap bersatu padu, harmoni, dan cinta akan negara.

MOHD KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM,
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka, Universiti Malaya.