Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

Faktor Persekitaran gagal membentuk sahsiah diri pelajar

Ruangan Pendapat Mstar ( 23 Feb 2009 )

Episod pelajar mati akibat dipukul mengulangi skrip lama yang pernah diberikan perhatian sebelum ini.


Kematian adik Muhd Hadzrin pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi mengimbas kembali peristiwa hampir sama yang berlaku kepada Allahyarham adik Muhammad Farid Ibrahim pelajar Sekolah Menengah Agama Datuk Klana Petra Maamor, Ampangan yang berlaku pada tahun 2004.

Peristiwa yang berlaku ini sudah pasti menimbulkan kesan yang mendalam kepada keluarga allahyarham. Anak yang diasuh, dibelai, dijaga dan dididik didepan mata tiba – tiba menghadap panggilan illahi disebuah institusi yang dipandang mulia iaitu sekolah.

Pada hari ini, sekolah yang merupakan tempat proses pembelajaran mencari ilmu bukan lagi suatu tempat yang selamat untuk pelajar – pelajar menuntut ilmu dengan selesa.

Kenyataan ini bukan semata – mata untuk menuding jari sepenuhnya kepada pihak sekolah tetapi sebagai proses muhasabah untuk kebaikan bersama. Asas pendidikan yang kolektif merangkumi empat elemen. Jika tiada salah satu ia bukan dinamakan pendidikan yang berjaya. Iaitu guru, pelajar, tempat belajar (sekolah) dan silibus pengajaran.

Merujuk kepada isu yang berlaku, adakah salah satu daripada elemen tersebut berlaku kelompangan atau pun wujud elemen baru yang mempengaruhi tindakan pelajar untuk melakukan suatu perkara yang diluar batas – batas kemanusiaan? Saya berpendapat, kadang-kadang diperingkat sekolah sudah berusaha sedaya upaya mungkin untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif tetapi malangnya ia dirosakkan oleh anasir luar iatu faktor persekitaran.

Begitu juga dengan ibu bapa yang sudah memperlengkapkan anak–anak mereka dengan didikan agama dan akhlak yang baik tetapi ia turut dirosakkan dengan keadaan persekitaran yang amat mengharu birukan. Antara elemen yang mewujudkan faktor persekitaran yang kurang baik adalah media massa dan budaya hidup masyarakat setempat.

Media massa yang merangkumi media cetak dan elektronik dilihat lebih banyak menumpukan kepada agenda hiburan yang melalaikan daripada agenda pendidikan yang berterusan. Manakala budaya atau gaya hidup masyarakat hari ini lebih terarah kepada budaya hidup masyarakat jahiliyah moden.

Masing–masing lebih mementingkan diri sendiri daripada mengambil berat keadaan persekitaran.

Yang penting dalam kehidupan mereka berjaya mengumpulkan kekayaan sebanyak mungkin tanpa mempedulikan apa yang berlaku diluar. Golongan–golongan sedemikan akan mula cakna atau peka keadaan semasa apabila peristiwa– peristiwa yang tidak diingini berlaku kepada diri mereka dan juga kaum kerabat mereka.

Selepas itu, golongan ini mula menuding jari dari satu pihak kepada satu pihak yang lain. Masyarakat kita sepatutnya sedar setiap masalah yang berlaku didalam negara merupakan tanggungjawab bersama untuk mencari jalan penyelesaian. Saya beranggapan sudah tiba masanya masyarakat kembali kepada ajaran agama. Setiap agama mementingkan keadilan, keselamatan dan kesejahteraan.

Tiada agama yang menggalakkan berlakunya kezaliman dan penindasan. Generasi muda pula perlu dibentuk jati diri mereka dengan pengisian–pengisian kerohanian dan bukan melalui undang–undang untuk menyedarkan mereka daripada kesilapan.

Manakala pihak pemerintah perlu melipat gandakan usaha mendidik masyarakat kearah kebaikan. Pepatah arab ada menyebut, gaya ataupun budaya hidup masyarakat bergantung kepada pemimpin yang mencoraknya.

Mohd Khairul Hidayat Berahim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka
Universiti Malaya (PERSAMA)

Sabar, beradab mampu kurangkan kemalangan

Forum Utusan Malaysia ( 5 Feb 2009 )

ISU keselamatan jalan raya sering hangat dibincangkan, khususnya apabila tiba musim perayaan. Agensi- agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia(PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) mula memperhebatkan kempen - kempen kesedaran bagi mencegah kemalangan daripada berlaku. Media massa juga tidak ketinggalan memainkan peranan melalui iklan - iklan bagi memperingatkan pengguna tentang langkah-langkah keselamatan semasa berada di jalan raya.


Namun amat menyedihkan, kemalangan jalan raya terus meningkat setiap tahun. Berdasarkan statistik Ops Sikap ke-19 yang dikeluarkan oleh PDRM menunjukkan angka korban meningkat sebanyak 10.4 peratus berbanding Ops Sikap yang dijalankan pada musim yang sama pada tahun 2008.

Dari statistik yang dikeluarkan, penunggang dan pembonceng motosikal terus menjadi korban terbesar di jalan raya dengan 72 peratus atau 152 orang. Ini diikuti oleh pemandu dan penumpang kereta yang mencatatkan 29 kematian atau 14 peratus.

Manakala pejalan kaki pula menyaksikan 14 terkorban, lori (5), penunggang basikal (4), jip (3), van (2) dan masing-masing satu kematian melibatkan bas, teksi dan lain-lain kenderaan.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian oleh pihak-pihak yang terlibat dan kerajaan adalah usaha-usaha untuk mendidik rakyat menjadi lebih sabar dan beradab semasa di jalan raya. Berdasarkan kajian-kajian lepas menunjukkan hampir 95 peratus kemalangan yang berlaku disebabkan sikap pemandu itu sendiri.

Saya percaya sebelum ini telah diadakan usaha - usaha pendidikan bagi mencegah kemalangan jalanraya. Antaranya program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah, program kesedaran dan pendidikan keselamatan jalan raya melalui media massa, program latihan, pengujian dan pendidikan pemandu vokasional serta program pendidikan untuk majikan dan pekerja.

Namun sejauh mana program tersebut dipantau dan dikaji keberkesanannya?

Antara inisiatif dan cadangan bagi mendidik pengguna jalan raya bersabar dan beradab semasa memandu adalah dengan menekankan aspek kerohanian. Bagi saya setiap agama mempunyai cara yang tersendiri bagi mewujudkan jiwa yang tenang. Bagi mereka yang beragama Islam, digalakkan memasang kaset CD al -Quran semasa memandu dijalan raya. Di samping itu, digalakkan juga mengamalkan doa dan zikir - zikir yang mathur semasa berada dijalan raya.

Selalunya kita lebih menitik beratkan usaha-usaha mencegah kemalangan semasa berada di jalan raya sehingga kadang - kadang kita terlupa untuk berusaha sebelum daripada itu.

Bagi masyarakat Islam dicadangkan agar melaksanakan solat sunat hajat dan solat sunat istikharah bagi memohon petunjuk dan keselamatan sebelum melakukan perjalanan.

Justeru saya menyarankan agar kerajaan melaksanakan kempen - kempen kesedaran jalan raya dengan berteraskan aspek keagamaan bagi memastikan pengguna - pengguna jalanraya lebih sabar dan beradab semasa memandu.

MOHD. KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM
Presiden Persatuan Mahasiswa
Melaka, Universiti Malaya.