Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

UNIVERSITI APEX AKAN DIBINA BAGI MELONJAKKAN KECEMERLANGAN PENGAJIAN TINGGI NEGARA

PUTRAJAYA: Sebuah universiti baru berstatus Apex akan dibina dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi bagi melonjakkan kecemerlangan pengajian tinggi negara ke peringkat antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Pejabat Pengurusan Program (PMO) Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata cadangan membina universiti itu adalah projek trek ketiga Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN).

"Menubuhkan universiti baru berstatus Apex bagi membentuk kecemerlangan dari peringkat awal lebih mudah berbanding melaksanakan perubahan di universiti sedia ada.

"Bagaimanapun, rancangan ini tertakluk kepada kedudukan kewangan kerana pembinaan universiti baru berstatus Apex memerlukan perbelanjaan tinggi," katanya kepada Berita Harian.

Awal bulan ini, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, mengumumkan pemilihan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai Universiti Apex pertama, mengatasi beberapa universiti lain termasuk Universiti Malaya (UM).

Universiti Apex akan diberi autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepemimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Sahol Hamid berkata, pemilihan USM untuk merintis program itu adalah projek trek pertama PSPTN.

Beliau berkata, kementerian akan meneliti perkembangan USM dan jika ia menunjukkan kemajuan baik, kemungkinan besar satu lagi proses penilaian dan pemilihan universiti lain untuk memasuki program itu akan diadakan dalam tempoh setahun dua lagi.

Katanya, UM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang disenarai pendek dalam pemilihan sebelum ini, bagaimanapun tidak akan dipilih secara automatik sebaliknya perlu bersaing semula.

Beliau berkata, persaingan akan terbuka kepada permohonan institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang mungkin sudah melakukan penambahbaikan serta mencatat peningkatan kemajuan.

"Namun sebelum itu, kemungkinan besar kita akan melaksanakan dulu projek trek kedua PSPTN, iaitu program Apex khusus untuk pusat kecemerlangan di universiti yang tertumpu kepada aktiviti penyelidikan dan pembangunan saja. Polisinya berbeza dengan kemasukan keseluruhan sebuah universiti dalam program Apex.

"Insya-Allah, proses trek kedua ini akan bermula pada Disember depan, termasuk membuka permohonan dan keputusan pemilihan pusat kecemerlangan akan ditentukan menjelang Jun tahun depan," katanya.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI


PERUTUSAN PRESIDEN

PERSATUAN MAHASISWA MELAKA UNIVERSITI MALAYA

SEMPENA HARI RAYA AIDIL FTRI 2008/1429H


ASSALAMUALAIKUM W.B.T DAN SALAM SEJAHTERA..


Segala puji - pujian bagi Allah yang menciptakan kejadian alam,selawat serta salam keatas junjungan besar baginda Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat dan seterusnya sekalung doa buat seluruh umat Islam dipelusuk dunia.


Alhamdulillah, hingga ke saat ini kita diberi kekuatan oleh Allah untuk berada didalam bulan yang penuh mulia dan keberkatan ini. Ramadhan yang dilalui semakin meninggalkan kita, Aidil Fitri yang bakal menjelang tiba menggamit diri merasai kebesaran-Nya. Namun jauh disudut hati kecil ini menilai dan bermuhasabah adakah ramadhan yang dilalui ini menganugerahkan sijil ketakwaan kepada diri sepertimana dalam firman-Nya yang bermaksud:


“ Wahai – wahai orang yang beriman! telah difardhukan ( diwajibkan ) keatas kamu berpuasa sepertimana yang diwajibkan keatas umat – umat yang terdahulu sebelum kamu. Dengan itu, mudah- mudahan kamu digolongkan dalam golongan orang – orang yang bertakwa ” ( al – Baqarah : 183 )


Sebagai seorang muslim, kita hendaklah menjadikan ramadhan kali ini benar – benar meninggalkan kesan yang positif dalam diri. Ini penting bagi menjamin momentum ibadah yang dilakukan dalam bulan ini dapat diteruskan dalam bulan – bulan lain seperti ibadah qiammullail, puasa sunat dan amalan membaca al – Quran.


Secara sedar atau tidak, sebenarnya ibadah – ibadah sunat seperti ini membantu kita membentuk jiwa muslim yang berkualiti disamping ibadah wajib yang perlu kita laksanakan. Realiti kehidupan memerlukan motivasi atau sokongan bagi menghadapi cabaran dan rintangan agar diri tidak tidak terjebak dalam perkara – perkara yang tidak bermoral.


Buat akhirnya, saya mewakili sahabat – sahabat pimpinan Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya ( PERSAMA ) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin. Pesanan dari kami, jangan lupa untuk mengulangkaji pelajaran bagi menghadapi peperiksaan yang bakal mendatang.


" SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL FITRI"

MAAF ZAHIR & BATIN


MOHD KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM

Presiden

Persatuan Mahasiswa Melaka

Universiti Malaya

Sesi 2008/2009

( http://temanpetunjuk.blogspot.com )

PEMINJAM PTPTN NIKMATI PENURUNAN CAJ SATU PERATUS MULAI 1 JANUARI 2009

KUALA LUMPUR: Semua 1.04 juta peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), perlu me-ngemas kini alamat masing-masing untuk membolehkan mereka menikmati penurunan kadar caj perkhidmatan kepada hanya satu peratus mulai 1 Januari 2009.


Peminjam yang gagal berbuat demikian, berdepan risiko terus dikenakan caj pinjaman pada kadar lama iaitu sebanyak tiga peratus atau lima peratus, jika surat tawaran perjanjian baru yang mengandungi pengurangan caj itu tidak sampai kepada mereka.


Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata peminjam perlu mengemas kini alamat untuk memastikan surat tawaran perjanjian baru yang akan dihantar mulai Januari ini, sampai kepada mereka untuk ditandatangani secepat mungkin.


"PTPTN ingin menegaskan bahawa peminjam hanya akan menikmati caj pinjaman pada kadar satu peratus selepas menandatangani surat perjanjian baru itu dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan kadar lama.

"Jadi, jika selepas ini peminjam masih dikenakan kadar caj lama, jangan salahkan PTPTN kerana mereka sendiri bersikap sambil lewa dan tidak mengemas kini alamat walaupun tempoh cukup panjang sudah kita diberikan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini.

Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penurunan caj perkhidmatan PTPTN kepada hanya satu peratus, berbanding tiga peratus bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, serta lima peratus untuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum ini.


Keputusan itu dibuat selepas Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj yang dikenakan PTPTN hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya membantu peminjam membiayai pengajian sekali gus tidak membebankan mereka.

Yunos berkata, PTPTN kecewa kerana masih ramai peminjam bersikap sambil lewa mengemas kini alamat atau membayar balik pinjaman dan ia terbukti kerana jumlah kutipan dicatatkan mencatat penurunan mendadak walaupun kerajaan sudah mengumumkan penurunan caj.

"Perkara ini mungkin berlaku kerana peminjam mengambil sikap tunggu dan lihat, termasuk menunggu surat perjanjian baru. Tetapi ingin saya tegaskan caj pinjaman hanya diturunkan selepas mereka menandatangani dokumen itu," katanya.

MENYINGKAP TIRAI SEJARAH NUZUL AL - QURAN


Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.Perkara ini dinyatakan dalam al-Quran, melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat ke 185 yang bermaksud:

Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.”

FirmanNya dalam ayat pertama surah al-Qadar :

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Dalam surah al-Dukhan ayat ke 3 pula Allah s.w.t telah berfirman :

Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab).


‘Nuzul’ merupakan perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. ‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.


Menilai ketiga ayat di atas tiada sebarang pertentangan antara ke tiga ayat di atas . Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa’adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, ‘malam yang berkat’ yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan itu adalah malam yang penuh dengan kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya dari amalan seribu bulan. Maka Allah SWT telah memilih tarikh turun kalamNya buat pemimpin umat sejagat nabi Muhammad yang penuh dengan kemuliaan itu untuk berlaku pada hari yang mulia iaitu malam al-Qadr itu sendiri

Menurut al-Syeikh Manna’ Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran ke tiga ayat ini secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada bulan ramadhan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr yang merupakan suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam-malam pada bulan Ramadhan.


Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat tentang turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan bersamaan 13 Ogos 610 M. Ini disebabkan pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramdhan adalah berpandu pada ayat ke 41 dari Surah Al-Anfaal adalah difokuskan kepada perisytiwa perang Badar bukannya al-Quran.

Firman Allah dalam ayat ke 41 surah al-Anfal itu,maksudnya :

"…jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)…"


Menurut sebuah riwayat yang dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya dari Ibn Abbas , ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut).

" Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)…".


Justeru tarikh yang lebih tepat tentang Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadhan kerana ia berdasarkan ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan yang telah dihuraikan di atas.


Menurut sebuah riwayat oleh Ibn Abbas dan pandangan ini disokong oleh majoriti para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam "Lailatul Qadar" sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus ke "Baitul Izzah" di langit kedunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.

Menurut satu riwayat dari al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-nasaei dari Ibn Abbas, beliau menjelaskan dari RasululLah saw bersabda :

Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun


Al Quran pula telah diturunkan secara beransur - ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah . Ayat-ayat dan surah-surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenai sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah . Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adaah bagi memenuhi objektif-objektif berikut :

v Agar lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan sekiranya suruhan dan larangan itu diturunkan sekaligus dalam kadar yang banyak. Hal ini disebut oleh Bukhari dari riwayat 'Aisyah r.a.
Di antara ayat - ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ini tidak dapat dilakukan sekiranya Al Quran diturunkan sekaligus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa - peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.

v Memudahkan penghafalan. Orang - orang musyrik yang telah menanyakan mengapa Al Quran tidak diturunkan sekaligus, sebagaimana disebut dalam Al Quran surah Al Furqaan ayat 32 maksudnya :

"……mengapakah Al Quran tidak diturunkan kepadanya sekaligus….?"

Kemudian dijawab di dalam ayat itu sendiri:

"….Demikianlah, dengan (cara) begitu Kami hendak menetapkan hatimu..".

Di antara ayat - ayat yang merupakan jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, sebagai dikatakan oleh Ibnu 'Abbas r.a. Hal ini tidak dapat terlaksana kalau Al Quran diturunkan sekaligus. Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk.

Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum , Nabi Muhammad s.a.w. telah diwahyukan mengikut pendekatan-pendekatan berikut :

· Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah )
Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. tidak melihat sesuatu apa pun, hanya beliau merasa bahawa itu sudah berada di dala, kalbunya. Sebagai contohnya Nabi pernah bersabda mengatakan:

"Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezkinya yang telah ditetapkan oleh ALlah".

· Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan oleh para sahabat.

· Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi s.a.w. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, meskipun turunnya wahyu itu di musim dingin yang sangat. Ada ketikanya, unta beliau terpaksa berhenti dan duduk kerana merasa amat berat. Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit:

" Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah. Aku lihat Rasulullah ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian setelah selesai turunnya wahyu, barulah beliau kembali seperti biasa".

· Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi s.a.w. dalam rupanya yang sebenar sebagaimana yang terdapat di dalam surah An- Najm ayat 13 & 14 :

"Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha".


Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa al-Isra` wal Mikraj . Sesetengah ulamak berpendapat baginda saw juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa.Perkara ini merupakan suatu khilaf di kalangan para ulamak.

Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting, diantaranya ialah:

Pertama: Sebagai Mukjizat Nabi Muhammad SAW.

Al-Quran merupakan bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad saw, sekaligus ianya menjadi bukti bahawa Al-Quran merupakan firman Allah SWT, bukannya ucapan atau ciptaan nabi Muhammad saw sendiri. Rasullulah saw telah menjadikan Al-Quran sebagai senjata bagi menentang orang-orang kafir Quraisy. Dan kita dapati bahawa mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa-bahasa yang indah dalam ucapan dan sajak-sajak mereka. Al-Quran secara prisipnya telah mengemukakan cabaran kepada bangsa Arab menerusi tiga peringkat iaitu :


Peringkat pertama. Mencabar mereka dengan keseluruhan Al-Quran dalam uslub umum yang meliputi orang Arab sendiri dan orang lain, manusia malah jin, dengan cabaran yang mengalahkan dan menjatuhkan mereka secara padu sebagaimana firmanNya.

"Katakanlah: Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa Quran ini, niscaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (17 : 88)


Peringkat kedua. Mencabar dengan sepuluh surah sahaja daripada Al-Quran. Sebagaimana firmanNya:

“Bahkan mereka mengatakan "Muhammad telah membuat-buat Al-Quran." Katakanlah: Jika demikian, maka datangkanlah sepuluh surah yang dibuat-buat yang menyamainya, dan panggillah orang-orang yang kamu sanggup (memanggilnya) selain Allah, jika kamu memang orang-orang yang benar. Jika mereka (yang kamu seru itu) tidak menerima seruanmu, ketahuilah, sesungguhnya Al-Quran itu diturunkan dengan ilmu Allah" (11 : 13-14)


Peringkat ketiga. Mencabar mereka hanya dengan satu surah daripada Al-Quran sahaja. Sebagaimana firmanNya:

"Atau (patutkah) mereka mengatakan: Muhammad membuat-buatnya (Al-Quran). (Kalau benar yang kamu katakan itu), cubalah datangkan satu surat seumpamanya" (TTQ 10 : 38)

Dan cabaran ini diulangi di dalam firmanNya:

"Dan jika kamu tetap dalam keadaan ragu tentang Quran yang Kami wahyukan kepada hamba Kami (Muhammad saw), maka buatlah satu surat saja yang semisal Al-Quran itu…" (2 : 23 )


Kedua: Sebagai Sumber Hukum Dan Aturan Hidup.

Ayat-ayat Al-Quran mengandungi peraturan tentang hukum-hukum siyasah negara , sosial , pendidikan , pengadilan , akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup bagi seluruh kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi semua permasalahan hidup yang dihadapinya. Sememangnya penyelesaian yang diberikan oleh syariat Islam adalah merupakan penyelesaian yang sebenar-benarnya kearan ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia itu sendiri. Kemampuan syariat Islam dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kehidupan manusia inilah yang akan menjadikan Al-Quran sebagai mukjizat abadi yang paling menonjol di muka bumi.


Sumber :zahazanmohamed.blogspot.com/

MAHASISWA: ANTARA TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH

“Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada”

Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tanggung jawab dan amanah. Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya


Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat. Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikirannya,teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat inginnya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.


Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk ” ( al –Kahfi :13-14 )


Impian dan cita-cita akan berjaya dengan wujudnya keyakinan yang kuat,wujudnya keikhlasan,semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya


As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepada mahasiswa iaitu:

a) Keimanan

b) Keikhlasan

c) Semangat

d) Usaha

Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu

Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi. Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa adalah gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab. Seorang sarjana futuris ,Tofler(powershift -1991) telah turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan pengusaan mana –mana masyarakat tamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi,kewangan,militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat ini.


Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kpada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era ini yang dicengkam dengan arus sejagat atau apa yang di sebut globalisasi. Dalam arus globalisasi ini di mana kapitalisma mencengkam dunia adalah kita melihat bagaimana yang kaya akan mengusai si miskin,bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan.Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.

Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian. Akedemi fantasia,Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini. Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang kononnya mendabik dada sebagai golongan yang sebenarnya kulit tanpa isi, kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini adalah bukan menyuburkan kejernihan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan. Mahukah nilai begini yuang terus dilabelkan pada mahasiswa?. Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang jelas negatif ini.


Ayuh mahasiswa,bangun dan bersemangatlah. Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu. Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama,bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi.Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.

Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapakali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan “Bacalah”.

Angin Perubahan

Marilah kita berubah.Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita memperbiarkan nama-nama kita terus di conteng-conteng,di carik-carik lagi. Di samping perjuang terus di semarakkan. Keutamaan kecintaan ilmu jang diletakkan di kesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa.. Jangan ditunggu esok. Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggung jawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita sebagai menjalankan amanah sebagai hamba tuhan

PERSAMA setuju cadangan Ketua Menteri Melaka pertingkat mutu Pengajian Al- quran


Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya ( PERSAMA ) menyokong penuh cadangan Ketua Menteri Melaka untuk meningkatkan mutu pengajian Al-Quran dengan menggunakan khidmat bekas – bekas johan tilawah Al –Quran samada diperingkat negeri mahupun diperingkat kebangsaan. Hasrat murni yang dicetuskan oleh Ketua Menteri itu hendaklah disokong oleh semua pihak dalam usaha melahirkan generasi yang celik Al-Quran. Ini amat bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:`` Sebaik-baik kamu ialah orang-orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.'' (Riwayat Bukhari dan Muslim).



PERSAMA juga ingin menyatakan harapan agar pengajaran al -Quran yang ingin diterapkan bukan sekadar untuk mempertingkatkan mutu pembacaan sahaja, malahan pengajaran ini hendaklah diperluaskan dari sudut penghayatan kandungan Al-Quran itu. Sesungguhnya Al-Quran itu mempunyai pelbagai hikmah, pengajaran, sejarah, kisah perjuangan anbia’ dan perkhabaran yang pastinya menjanjikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup insan di dunia dan akhirat.



Di dalam surah al-Maidah ayat 15-16 Allah berfirman yang bermaksud: ”Sesungguhnya sudah datang kepada kamu cahaya daripada Allah dan kitab yang menerangkannya. Dengan kitab itulah Allah memimpin orang yang mengikuti keredaan-Nya.”



Justeru, dibulan Ramadhan yang mulia ini PERSAMA menyeru kepada masyarakat Malaysia yang beragama Islam agar meningkatkan amalan pembacaan al-Quran dari sudut tajwid dan juga penghayatan terhadap isi kandungannya agar kita termasuk dikalangan golongan orang – orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya pabila kita mentadabbur keseluruhan Al –Quran itu.



Mohd Khairul Hidayat Berahim
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka
Universiti Malaya




Beberapa Persediaan Mahasiswa Bergelar Pemimpin Negara


Jadikan Diri Orang Berilmu

Dalam perkembangan dunia sekeliling ilmu pengetahuan kini menjadi modal kehidupan yang amat berharga. Nilai ilmu itu sendiri adalah merupakan asas dalam mewujudkan suasana kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Justeru generasi mahasiswa tidak boleh tertinggal dan terpengaruh dengan gejala yang hanya menyekat kemaraan bagi meneruskan pencarian ilmu. Ilmu itu perlu dicari dan difahami dengan sebaiknya. Ilmu itu tidak akan bermakna jika ia tidak disertakan dengan pemahaman yang mendalam mengenainya.

Kenapakah kita memerlukan generasi yang berilmu, kerana dalam melaksanakan setiap perubahan dan menangani perkembangan semasa, ilmu berperanan sebagai pengimbang dalam memberikan panduan kehidupan. Tanpa ilmu pengetahuan yang disertai dengan pemahaman tidak mungkin akan dapat kita perolehi sesuatu perubahan dan pembaharuan yang lebih baik dan sempurna.

Kita juga akan dihormati kerana faedah dan juga manfaat ilmu itu sendiri. Ilmu yang dapat mengangkat kualiti dan kebaikan kehidupan adalah ilmu yang dapat dimanfaatkan.

Keikhlasan Dalam Memimpin

Keikhlasan amat penting dalam menjalankan tanggungjawab kepimpinan. Kepimpinan mahasiswa seolah memaksa diri untuk membahagikan kepentingan diri dengan orang ramai. Masa perlu dibahagikan, kewangan juga perlu dikorbankan dan privacy diri diketepikan sementera waktu untuk memastikan amanah kepimpinan dilunas dengan baik.

Semua itu memerlukan kata kunci dalaman yang namanya adalah keikhlasan. Mana mungkin pengorbanan yang ditagih tersebut mampu untuk dilaksanakan sekiranya tidak dipasakkan dalam hati. Justeru, bicara atas nama keikhlasan tidak perlu dipanjangkan perbincangannya tetapi ia seharusnya diukir kemas di dalam hati.

Hati-hati dalam meniti lorong berduri kepimpinan. Jangan sampai susah payah dan pengorbanan yang dibuat langsung tiada hasilnya kerana tidak didasarkan kepada keikhlasan. Keikhlasan juga adalah ubat dan penawar kepada keletihan kerana keyakinan bahawa setiap pekerjaan yang ikhlas dilaksanakan akan di nilai.

Yang paling penting ikhlas perlu mengepalai setiap langkah dan kerja buat kita seharian kerana tugas kepimpinan ini akan semestinya dilihat orang dan diperkatakan samada positif ataupun negatif. Ikhlaskan niat di hati.

Kuatkan Jati Diri

Pengaruh sekeliling yang sering berubah dan bermacam caranya, mestilah ditangani dengan sebaiknya, hal ini penting agar suasana dan pengaruh sekeliling yang tidak begitu sesuai dan selari dengan konsep kehidupan bernegara dapat di tangani dengan sebaiknya. Kita perlu bekerja keras untuk menyekat gejala-gejala negatif sambil juga berusaha dengan bersungguh-sungguh menyuburkan nilai-nilai yang selaras dengan falsafah kehidupan di negara kita, Melayu Islam Beraja.

Perubahan dan globalisasi yang berlaku bukanlah merupakan alasan untuk kita menerima apa saja yang datang adalah merupakan pembaharuan. Pembaharuan tidak semestinya menjadikan globalisasi itu asas untuk membelakangkan kehidupan beragama. Kita perlu mempertahankan nilai-nilai orang kitani yang pelikat dengan kehidupan beragama yang betul lagi sempurna. Pengaruh pembaharuan bukanlah bererti ia perlu kita ambil kesemuanya, namun perkara yang baik dapat dijadikan sandaran akan tetapi yang kurang baik mesti kita hindarkan.

Peranan ilmu pengetahuan yang difahami dan dihayati mestilah kita jadikan sebagai asas yang akan membantu kita dalam mewujudkan pembaharuan diri yang lebih teguh. Ilmu pengetahuan dan pendidikan yang tinggi biarlah menjadi asas ke arah pembinaan insan yang lebih berkualiti tinggi. Kita perlu berpegang kepada identiti sendiri, di samping tidak boleh menyempitkan ruang ke arah kemajuan, yang penting bagi kita adalah sensitiviti bangsa. Jika sensitiviti kita tumpul maka ia akan menghakis rasa cemburu. Jika ini terhakis maka akan mudahlah segala pengaruh negatif mencorakkan kehidupan dan pemikiran kita.

Inilah senario yang memerlukan penelitian dan penghayatan serius, isu-isu sedemikian inilah memerlukan bidang pendidikan yang lebih sempurna dan kemas kini.

Kesimpulan

Dengan menghayati persediaan mahasiswa bergelar pemimpin Negara sebentar tadi, kita akan mampu melahirkan sebuah masyarakat yang akan mengangkat tamadun dan kekuatan berbangsa serta bernegara. Kita mesti konsisten mewujudkan sebuah masyarakat remaja dan belia yang bernilai dan berpengetahuan tinggi dengan kemampuan untuk menjadi ‘lampu zaman’ yang dapat menerangi kehidupan beragama, berbangsa dan bernegara.