Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

RAMADHAN MEDAN MUHASABAH


Bila kita memasuki bulan Ramadhan, bererti kita memasuki bulan yang paling mulia, hati kita akan terasa tentu bulan ini berbeza dari bulan yang lain. Kita terasa sangat berbeza seolah-olahnya kita pergi ke Mekah, kalau pergi Mekah tidak terasa apa-apa perbezaannya sama seperti pergi Amerika, pergi melancong, seronok-seronok, lepas tu balik, tak rasa apa-apa, tak dapat apa-apa.. Itu sangat pelik.

Sepatutnya 3, 4 hari lagi sebelum kedatangan Ramadhan, hati dah terasa bimbang, cemas dan takut. Boleh ke kita menghadapinya? Itu baru rasa-rasa di ambang pintu belum lagi memasuki bulan Ramadhan. Pengaruh atau perasaan itu kalau dihayati ia dapat membina hati kita dalam menjalankan ibadah puasa.

Sebab itulah kalau kita faham, waktu membaca Al Quran yang penting kita faham, bukannya baca semata-mata untuk khatam Quran. kalau baca tidak habis satu Quran pun tak apa. Yang penting semasa membaca Quran itu terasa bersama ALLAH. Terasa pesanan dan amaran dari ALLAH, ada khabar gembira, ada cerita qiamat yang menakutkan, ada cerita nabi dan orang-orang soleh.

Seeloknya di bulan Ramadhan, ditambah dengan berwirid dan selawat. Cuba setkan target bahawa keseluruhan amalan kita pada bulan Ramadhan ini adalah untuk mendidik hati. Jika Ramadhan tidak boleh mengubah sikap dan peribadi itu adalah pelik. Bayangkan apa tidaknya kerana sepanjang ramadhan banyak dosa-dosa kita yang gugur. Sepatutnya kita sudah boleh membuang segala sifat buruk kita seperti pemarah, sombong, hasad dengki, khianat, tamak, bakhil dan sebagainya sepanjang sebulan Ramadhan ini.

Hari raya itu pula adalah menyambut hari mulia. Hari raya bukan untuk bersuka ria. Bersuka ria itu adalah nafsu. Sebab itu orang-orang soleh zaman dahulu terasa diri tidak layak untuk berhari raya. Mereka sedih dan tidak keluar rumah sebab mereka rasakan bahawa puasa mereka tidak sempurna. Layakkah kita berhari raya jika puasa tidak sempurna ?

Mari kita kaji dan lihat bagaimana mujahadah kita di bulan Ramadhan ? Waktu berpuasa bila kita terasa nak marah, kita kena ingat, aku ini sedang puasa mana boleh marah, mana boleh maki-maki. Tidak ada gunanya kita berpuasa sebulan sekiranya selepas berbuka itu kita kembali menjadi orang yang pemarah, hasad dengki, tamak, riya' dan sebagainya.

Puasa itu menahan daripada perkara-perkara yang tak sepatutnya kita buat. Ia bersifat mardhiah (sifat-sifat yang diredhai) dan maknawiyah. Contohnya jika kita membaca benda-benda yang tidak menakutkan kita dengan Tuhan dan melalaikan, kita kena tinggalkan. Walaupun perkara itu tidak berdosa tapi tidak mendapat pahala.

Kita berpuasa sekadar tidak makan dan minum, tapi belum mampu nak mengawal diri dari sifat mazmumah. Belum mampu untuk menjaga hati supaya sentiasa tidak terputus dengan Tuhan, yang penting segala-galanya mestilah bertunjang pada tauhid dan rasa bertuhan. Bila rasa bertuhan kuat secara automatik akan membuahkan rasa hamba.

Orang yang dah bertunjang rasa bertuhan dengan kuat maka bila masuk Ramadhan akan mudahlah, dia hanya menghayati secara mendalam lagi. Tapi kalau pemikiran kita masih ditahap ilmu, maka susah nak menghayatinya. Samalah seperti ilmu takutkan harimau, sudah pasti berbeza dengan keadaan orang yang betul-betul berhadapan sendiri dengan harimau.

Bagi memastikan puasa benar-benar dapat membentuk peribadi solihin bermula daripada sejauh mana seseorang itu boleh mengenali dan menghayati Tuhan, barulah puasa boleh menghilangkan mazmumah. Puasa untuk melahirkan rasa kehambaan. Kalau puasa tidak boleh melahirkan rasa hamba seperti pokok yang tidak berbuah. Maka apalah ertinya puasa kita. Seharusnya puasa menjadikan kita lebih tawadhu', insaf, sabar, redha, pemurah, berkasih sayang dan pelbagai sifat-sifat mahmudah yang lainnya.

Bulan ramadhan itu adalah bulan peperiksaan. Bagi orang yang menghayatinya dia akan cemas dan bimbang untuk menghadapinya lalu membuat persiapan . Tapi kalau atas dasar ilmu sahaja tanpa penghayatan kita tidak akan faham apa ertinya kedatangan Ramadhan. Puasa itu ada lahir dan batinnya, iaitu kita tidak terlibat dengan segala yang Tuhan larang dan apa yang Tuhan tidak suka. Kalau sekadar tidak makan dan minum tetapi melayan segala kehendak nafsu, itu tandanya tidak puasa.

Ingatlah bahawasanya Bulan Ramadhan itu adalah bulan kemenangan, rahsianya ialah apabila kita dekat dengan Tuhan, waktu itu kalau berperang kita akan menang. Jadi kalau kita hendak mendapat kemenangan kena usahakan puasa sungguh-sungguh dalam mendidik nafsu kita dan dalam mengekang sifat-sifat mazmumah yan bersarang di dalam diri kita. Tambah lagi seteru utama kita iblis dan syaitan sudahpun dirantai. Kalau ada lagi bisikan kea rah kejahatan, itu bukan lagi dari hasutan syaitan sebaliknya dari nafsu kita yang cuba menjadi raja. Kalau puasa sekadar nilaiannya 50% belum layak untuk mendapat kemenangan. Teruskan mujahadatunnafs anda selama sebulan yang akan datang ini. Moga-moga kita beroleh kemenangan di sisi Tuhan.

Selamat Berpuasa, Memperbaiki Puasa dan Menghayati Ibadah Puasa Kita !

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-51





ERTI KEMERDEKAAN

Dan jatuhnya hanya beberapa hari
lalu terbelenggu 400 tahun
suatu tempoh yang amat payah dan panjang
pengabdian dan kehilangan yakin diri
43 tahun kita berdiri menebus maruah
merdeka mentafsir diri sendiri dan bangga pada apa yang ada
masih mahukan harga itu diperjudikan?


Kita tidak akan mempertaruhkan nasib itu
di tangan kita masih panas
keringat, tulang belulang dan tenaga fikir
menghayun langkah membina wawasan
waspada harimau di matahari terbenam
tidak akan hilang belangnya
mengisytiharkan dirinya yam tuan tunggal sejagat
yang lemah longlai
yang gagah gergasi
akan meruntuhkan segala sempadan rimba
atas nama membina perkampungan dunia
mahukah kita biarkan
mereka menginjak-injak dan menghancurkan taman kecil permai ini?


Rimba tanpa sempadan
atas nama “kebaikan” menyelinap menusuk matafikir
hidupan dunia ketiga terpaku takjub dengan slogan
‘kasih alam
ketelusan hukum
keadilan timbangan
kesatuan warga dunia
kebebasan mutlak’
lalu beraraklah anak-anak bumi ini meraikan kesatuan alam
dengan sorak sorai
‘runtuhkan sempadan!
runtuhkan sempadan!
runtuhkan korupsi
runtuhkan kolisi’


dan di belakang mereka tidak melihat
bayang-bayang belenggu halimunan
yang lebih ganas daripada segala yang ganas
kita pun akan kehilangan harga dan erti diri
mengapa diundang mereka
dan mereka tiba-tiba berada di depan pintu rumah kita?
Kita telah bangun dengan segala kepayahan
membuka belantara dan mempertahankan warisan
kita tafsir merdeka mengikut acuan sendiri
merdeka kita dengan fikiran
dan kita pertahankannya dengan fikiran
dunia sudah melihat kita
dunia sudah menghormati kita
Timur dan Selatan mengharapkan kita
mereka datang berbondong-bondong mencari bumi ini
perlindungan dan erti hidup
mengapa kita sendiri masih belum mahu melihat
dengan tangan masih terbelenggu ke belakang
dan hanya sesekali menjulangnya
mengikut rentak genderang dunia matahari terbenam?
Bijak pandai pernah berpesan
‘mereka yang tidak belajar dari sejarah mereka didera
dengan mengulangi kesalahan-kesalahan mereka berkali-kali’
sejarah mengajar kita betapa kukuh sesuatu bangsa
akan tetap kecundang bila ditikam dari belakang
mengapa kita mula halalkan sejarah hitam berulang?


Nasib kita genggam
dengan tangan sendiri dan segala kudrat kurniaan
kita jalin kekuatan sulaman kasih bangsa
kita didihkan dia dengan tradisi semangat juang
maruah bangsa kita julang ke mercu alam
kita bangunkan suatu tamadun cinta damai
di sini kita ajar anak-anak kita erti sayang
di sini kita tawarkan dunia menaja kemanusiaan
dan bukan alat peperangan
dunia belajar erti merdeka sejati
mempelajari dan menerima segala perbezaan
merdeka menafsir hidup tanpa paksaan kuasa


Di sini kita yakin segalanya boleh
Di sini kita yakin segalanya boleh
Itulah erti kemerdekaan


Perjuangan ini mesti diteruskan.


TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

INTIPATI BAJET 2009 'KERAJAAN PRIHATIN'

Jumlah Bajet

Bajet 2009 sebanyak RM207.9 bilion - naik 5.1 peratus dari tahun lalu. Dari jumlah itu RM154.2 bilion bagi peruntukan mengurus manakala RM53.7 bilion bagi peruntukan pembangunan.

Peruntukan pengurusan - RM86.3 bilion atau 56.6 peratus (pemberian dan kenaan bayaran tetap); RM38 bilion (emolumen), RM26.5 bilion (perkhidmatan dan bekalan), RM2.4 bilion (pembelian aset) dan RM1 bilion (perbelanjaan lain).

Peruntukan pembangunan - RM27.8 bilion (sektor ekonomi - pertanian, perindustrian, perindustrian dan infrastruktur), RM17.8 bilion (sektor sosial - pendidikan, kesihatan dan perumahan), RM4.1 bilion (sektor keselamatan), RM2.1 bilion (pentadbiran) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

Bajet 2009 menumpukan kepada langkah-langkah yang akan memastikan kesejahteraan yang telah dibina selama ini terus terjamin dan untuk itu adalah penting diperkukuhkan daya tahan ekonomi supaya negara berupaya menangani kesan persekitaraan luar yang semakin sukar.

Bertemakan Kerajaan Prihatin, Bajet 2009 tertumpu kepada tiga strategi khusus iaitu, menjamin kesejahteraan rakyat, membangun modal insan berkualiti dan memperkukuh daya tahan negara.

Kerajaan akan melaksanakan pelbagai langkah bertujuan meringankan beban kos sara hidup, terutamanya ke atas golongan berpendapatan rendah dan yang kurang bernasib baik.

Jaringan Keselamatan Sosial

Kerajaan telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bagi pemberian bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kelayakan pendapatan isi rumah kini ditingkatkan daripada RM400 sebulan kepada RM720 sebulan untuk semenanjung, RM830 sebulan untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah.

Menghargai jasa pesara, dan bagi membantu pesara berpendapatan rendah yang menghadapi kesukaran untuk menampung sara hidup harian, pesara kerajaan yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang daripada RM720 sebulan mulai 1 Januari 2009.

Kerajaan akan menubuhkan satu tabung khas berjumlah RM25 juta bagi menyalurkan pemberian kewangan kepada keluarga yang hilang punca punca pendapatan secara mengejut seperti akibat kemalangan.

Memandangkan tanggungjawab besar ibu pelihara di Rumah Tunas Harapan, kerajaan telah menaikkan jumlah Elaun Ibu Pelihara daripada RM600 kepada RM1,000 sebulan. Kenaikan ini berkuatkuasa mulai 1 September 2008.

Membasmi Kemiskinan

Kadar kemiskinan dikurangkan dari 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007.

Kerajaan telah menyediakan RM50 juta dibawah Program Bantuan Rumah untuk membina 1,400 rumah baru dan membaikpulih 1,000 buat rumah.

Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat di Sabah dan Sarawak, terutamanya untuk mempertingkatkan kemudahan asas, seperti bekalan elektrik, air dan jalan luar bandar. Untuk ini, RM580 juta disediakan bagi Sabah dan Rm420 juta untuk Sarawak.

Kecuali Bil Elektrik RM20

Isi rumah yang membayar bil elektrik RM20 dan ke bawah sebulan tidak perlu menbayar bil elektrik berkuatkuasa 1 Oktober 2008 sehingga akhir 2009.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah 6.3 peratus bagi suku kedua 2008, menjadikan pertumbuhan setengah tahun pertama tahun ini pada tahap 6.7 peratus.

Cukai Pendapatan

Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

Barangan Pengguna

Duti import atas beberapa barangan pengguna - pengisar makanan, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro dan cerek elektrik - dikurangkan dari antara 10 hingga 60 peratus kepada 5 hingga 30 peratus.

Cukai Jalan

Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

Orang Kurang Upaya (OKU)

Memberi elaun RM150 sebulan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).

Murid OKU di sekolah pendidikan khas akan ditambah dari RM50 kepada RM150.

Bayaran insentif RM200 sebulan untuk pembantu guru di sekolah pendidikan khas.

Kakitangan Kerajaan

Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

Tempoh pinjaman perumahan dilanjutkan dari 25 tahun kepada 30 tahun bagi pinjaman baru

Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

Buka panel insurans pinjaman perumahan kerajaan kepada semua syarikat insurans yang layak. Pada masa ini ia terhad kepada lima syarikat sahaja.

Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

Pembangunan Koridor Pertumbuhan

Iskandar Malaysia - Peruntukan tambahan RM300 juta di bawah Dana Pelaburan Strategik disediakan bagi melaksanakan projek perkongsian sektor awam dan swasta, seperti pengangkutan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan industri kreatif.

Pelancongan

Kerajaan sedia peruntukan RM50 juta untuk kerja pemuliharaan di Pulau Pinang dan Melaka, yang akan dikendalikan oleh badan bukan kerajaan dan sektor swasta.

Pelaburan baru oleh pengusaha hotel bertaraf empat dan lima bintang di Sabah dan Sarawak dikecualikan cukai pendapatan 100 peratus atau elaun cukai pelaburan 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

Syarikat modal teroka yang melabur sekurang-kurangnya 30 peratus dalam bentuk permulaan dan pembiayaan peringkat awal.

Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Peruntukan RM5.4 bilion untuk tingkatkan keupayaan PDRM - RM4.8 bilion bagi belanja mengurus dan RM600 juta belanja pembangunan.

Peruntukan RM200 juta bagi pembinaan ibupejabat, balai dan pondok polis di seluruh negara.

Semua premis perniagaan yang memasang alat kawalan keselamatan di beri Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh dituntut sepenuhnya dalam tempoh satu tahun.

Pengangkutan

K'jaan sedia kemudahan pinjaman mudah melalui dana pengangkutan awam RM3 bilion di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad untuk biayai perolehan aset bas dan rel

Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

Kecekapan pengangkutan awam ditingkatkan melalui perbelanjaan RM35 bilion dari 2009 hingga 2014.

Kesihatan

Duti eksais spesifik ke atas rokok dinaikkan sebanyak 3 peratus sebarang - dari 15 sen kepada 18 sen.

Dengan ini, cukai untuk sekotak rokok 20 batang kini meningkat sebanyak 60 sen.

Kadar bayaran insentif pakar perubatan akan dinaikkan untuk 3,800 pegawai dengan perbelanjaan tambahan RM26 juta.

Kadar bayaran insentif pasukan perubatan udara di Sabah dan Sarawak dinaikkan.

Bagi pembantu perubatan, kadar bayaran dinaikkan dari RM20 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Bagi jururawat pula, dari RM15 kepada RM30 satu penerbangan pergi balik.

Pengecualian cukai bagi perubatan radisional seperti akupuntur dan ayuvedic.

Nelayan dan petani

Peruntukan RM300 juta, yang mana RM180 juta adalah untuk menampung sara hidup nelayan dan pemilik bot perikanan manakala RM120 juta sebagai insentif tangkapan ikan.

Elauan pelaburan semula sebanyak 60 peratus bagi tempoh 15 tahun bagi pelaburan tambahan bagi penternak ayam dan itik.

Peruntukan RM475 juta bagi bantuan input pertanian, baja dan racun perosak bagi membantu pesawah.

Pemansuhan duti import bagi baja dan racun perosak.

SEJARAH MELAKA


Melaka amat dikenali kerana keunikan sejarahnya. Sejarah Melaka bermula apabila Parameswara putera raja dari Palembang telah terlibat dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14. Setelah ditumpaskan oleh Majapahit, baginda telah lari mencari perlindungan ke Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir dari Temasik oleh penjajah dari Siam, pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri ke Muar dan kemudiannya ke Sungai Ujong sebelum singgah di Bertam iaitu berdekatan dengan muara sungai Melaka.

Setelah tiba di Bertam, baginda telah melihat anjing perburuannya ditendang oleh seekor pelanduk putih. Baginda amat kagum dengan keberanian pelanduk putih tersebut dan membuat keputusan untuk membuka negeri di situ. Baginda telah bertanyakan nama pohon tempat baginda bersandar dan pengikutnya memberitahu bahawa nama pohon tersebut adalah pohon Melaka. Maka baginda telah membuat keputusan untuk menamakan negerinya sempena nama pohon tersebut.

Pilihan Parameswara begitu tepat sekali kerana kedudukan Melaka yang strategik. Lokasinya di tengah-tengah tebing Selat Melaka yang menghubungkan negara China ke India dan Timur telah menjadikannya tempat yang amat sesuai sebagai pusat perdagangan. Kedatangan pedagang-pedagang Arab serta pedagang-pedagang dari Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebagai sebuah pelabuhan entrepot yang sibuk dengan ratusan kapal yang singgah setiap tahun. Parameswara yang telah memeluk Islam melalui seorang ulama dari Jeddah pada tahun 1414 telah meletakkan asas kemajuan negeri Melaka sebagai pusat perdagangan dan pengembangan agama Islam yang terulung di rantau ini.

Melaka terus terkenal sebagai pusat perdagangan Melayu di Timur. Antara barang dagangan yang boleh didapati di Melaka adalah sutera dan porselin dari China, kain dari Gujerat serta Coromandel di India, kapur barus dari Borneo, cendana dari Timor, buah pala dan bunga cengkih dari Molucas, emas dan lada hitam dari Sumatera serta timah dari Tanah Melayu.

Namun demikian, kemasyhuran Melaka telah bermula seiring dengan keadaan di mana negara-negara Eropah sedang membuka langkah untuk meluaskan lagi kuasa mereka ke benua Timur dan Melaka merupakan antara bandar pelabuhan yang menarik perhatian mereka. Pada tahun 1509, Diego Lopez De Squera dari Angkatan di Raja Portugal merupakan angkatan Portugis pertama telah tiba di Melaka. Selepas serangan bertubi-tubi pada tahun 1511, Melaka akhirnya telah berjaya ditawan oleh angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso d’ Albuquerque.

Sultan Mahmud Syah, pemerintah Melaka ketika itu, telah berundur ke Johor dan setelah bertapak di situ, orang Melayu cuba menyerang kembali orang Portugis tetapi tidak berjaya. Salah satu sebab yang menjadi kekuatan pihak Portugis adalah pembinaan kota A’ Famosa sebagai benteng pertahanan mereka.

Kota A’ Famosa telah memantapkan lagi kuasa Portugis di Melaka selama 130 tahun. Sehinggalah pada tahun 1641, Melaka akhirnya jatuh ke tangan Belanda melalui serangan dan pertempuran yang sengit di antara kedua-dua pihak. Bandar Melaka hampir musnah dan dalam tempoh satu setangah abad, Belanda telah membinanya semula dan menjadikannya sebagai pangkalan tentera kerana lokasinya yang strategik bagi mengawal Selat Melaka.

Pada tahun 1795, semasa Peperangan Napoleon, Melaka telah diserahkan kepada Syarikat Hindia Timur Inggeris buat sementara bagi mengelakkan ianya ditawan oleh negara Perancis. Melaka telah dipulangkan semula kepada Belanda pada tahun 1818, melalui Perjanjian Venice. Melalui Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London 1824 yang mengasingkan kawasan jajahan British dan Belanda, British kembali menguasai Melaka serta kawasan utara selat dan Singapura manakala Belanda di bahagian selatan selat (Kepulauan Indonesia).

Dari tahun 1826, Melaka ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpengkalan di India. Pada tahun 1827, Negeri-negeri Selat (iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) telah menjadi tanah jajahan British dan diletakkan di bawah pemerintahan Pusat di London. British telah meneruskan kuasanya di negeri-negeri Melayu sehinggalah berlakunya Perang Dunia ke-2 .

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, British kembali menyambung penguasaannya di Tanah Melayu sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu diisyhtiharkan merdeka oleh Y.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya yang pertama pada 31 Ogos 1957.