Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

Banteras gangsterisme remaja


AMAT mengejutkan apabila baru-baru ini kita didedahkan dengan maklumat yang dilaporkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang menyebut kira-kira 10,000 individu dikesan menjadi anggota rahsia lapan kumpulan yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah dan gangsterisme di Selangor.

Apa yang dilaporkan merupakan masalah jenayah yang berlaku di sebuah negeri. Bagaimana pula masalah jenayah yang berlaku dalam sebuah negara? Jika perkara ini tidak diambil tindakan dengan segera, kerisauan berlaku di benak pemikiran mengenai kemungkinan negara kita tidak lagi selamat untuk didiami disebabkan jenayah berleluasa berlaku pada setiap masa dan tempat.

Merujuk kepada jenayah gangster, ia bermaksud kumpulan seminat yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berkecenderungan melakukan perlakuan negatif atau pelbagai salah laku dan penubuhannya melibatkan upacara ritual. Ahli-ahlinya diikat dengan peraturan dan undang-undang yang ketat dan kumpulan ini umumnya bergerak secara sulit. Ia mempunyai seorang ketua yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan program dan aktivitinya.

Apa yang boleh diperkatakan, isu gangster ini hendaklah ditangani secara serius oleh semua pihak dan kita tidak boleh menyalahkan pihak tertentu sahaja dalam usaha untuk mengatasi permasalahan yang berlaku.

Cuma apa yang hendak difokuskan di sini adalah golongan remaja yang terlibat dalam gejala tersebut. Ini kerana remaja merupakan tunggak negara pada masa akan datang. Maka semestinya kita menumpukan perhatian sepenuhnya kepada golongan ini.

Sebelum ini, negara pernah didedahkan dengan hasil kajian yang dibuat oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Kementerian Pendidikan pada tahun 1999 yang menjelaskan tentang penularan gangsterisme yang semakin berleluasa di sekolah menengah seluruh negara. Fakta kajian tersebut menunjukkan satu pertiga daripada 1560 sekolah menengah kita adalah berisiko tinggi dan terdedah kepada berbagai-bagai kongsi gelap.

Fakta tersebut merupakan kajian yang dilakukan pada 10 tahun lalu. Bagaimana pula kalau kajian sedemikian dibuat pada masa sekarang? Adakah jenayah gangsterisme yang berlaku di peringkat sekolah menurun atau meningkat? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Menurut Statistik Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mendapati pembabitan pelajar sekolah dalam kes jenayah semakin serius. Sebanyak 1,996 pelajar ditahan kerana terbabit dalam 881 kes jenayah bagi tempoh enam bulan pertama tahun 2003.

Manakala statistik kes rogol membabitkan pelajar di Kedah sepanjang tahun 2008 berada pada tahap yang membimbangkan dengan 226 kes direkodkan daripada keseluruhan 309 kes. Ini jelas membuktikan kepada kita, sebenarnya kadar jenayah di peringkat sekolah berada dalam kritikal.

Di sebalik pembangunan fizikal negara kita semakin maju dan pesat membangun, terdapat ketidakseimbangan berlaku di mana pembangunan diri dan sahsiah diri masyarakat khususnya remaja berada dalam keadaan membimbangkan.

Justeru, pihak bertanggungjawab wajib melipatgandakan usaha dalam memfokuskan pembangunan diri remaja dengan memperbanyak dan mempelbagaikan aktiviti yang dapat membina kendiri dan jati diri remaja.

Antaranya mengaktifkan semula secara serius program rakan muda dengan mempelbagaikan modul bersifat kerohanian, serta melaksanakan program pembangunan insan di kalangan komuniti desa dan bandar.

Selain itu mengadakan karnival remaja di pusat membeli-belah terkemuka dengan menyelitkan unsur pembangunan diri dan memperkasakan peranan institusi keagamaan yang bukan sekadar untuk tempat beribadat tetapi juga menjadi pusat pembangunan diri remaja.

MOHD. KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM
Presiden
Persatuan Mahasiswa Melaka (PERSAMA),
Universiti Malaya, Kuala Lumpur

Remaja Melayu perlu muhasabah

SUNGGUH memalu dan menyedihkan, ungkapan pertama yang keluar daripada bibir orang ramai termasuk saya apabila membaca berita mengenai pesta seks yang diadakan di Kuala Lumpur sempena sambutan tahun baru.

Perasaan malu timbul kerana melihat mereka yang terbabit adalah bangsa Melayu apatah lagi beragama Islam. Dalam kesibukan kita memperkatakan mengenai isu Melayu/Bumiputera dipinggirkan, sebenarnya ada isu besar yang kita terlepas pandang iaitu gejala keruntuhan moral membabitkan kaum Melayu.

Menurut laporan Pemadam, kadar penagihan dadah bagi Januari hingga Disember 2005, memperlihatkan jumlah penagih Melayu seramai 22,344 orang, Cina 5,131 orang dan India 3,228 orang. Ini secara jelas membuktikan Melayu menjuarai gejala itu. Belum lagi dilihat statistik gejala pelacuran, buang anak, merempit dan gejala sosial lain yang membabitkan anak Melayu.
Apa yang ingin dipaparkan bukan untuk memburukkan Melayu tetapi untuk kita bermuhasabah terhadap apa yang berlaku. Maka di sini peranan kita bersama bagi menangani gejala sosial itu. Badan bukan kerajaan hendaklah berganding mahu dengan pihak kerajaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi.

Peranan institusi pendidikan juga perlu diperkasakan bagi menerapkan elemen kerohanian di kalangan pelajar. Ini disebabkan pelajar ini akan menerajui negara pada masa akan datang. Memetik pendapat cendekiawan, jikalau kita ingin melihat keadaan sesebuah negara pada masa akan datang, maka lihatlah generasi muda pada hari ini.

Berbalik kepada pesta seks dan dadah itu, kita dapati mereka yang terbabit adalah golongan remaja dan belia berumur dalam lingkungan 18 hingga 31 tahun ke atas. Dan apa yang mengejutkan ia dianjurkan pasangan suami isteri yang berumur dalam lingkungan 20-an.

Sedih dan sebak menyelubungi hati saya kerana dalam keadaan negara kita ditimpa dengan pelbagai bencana seperti tanah runtuh yang mengorbankan beberapa nyawa, masih ada golongan tidak sedar dan bermuha-sabah terhadap apa yang berlaku.

Saya tidak ingin mengatakan bahawa gejala sosial yang dilakukan seakan-akan mencabar kekuasaan Tuhan, tetapi itulah realiti yang berlaku. Secara kebetulan, kita dapat melihat berita dari negara jiran Thailand iaitu tragedi yang mengorbankan 59 nyawa dan 100 orang lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di Bangkok.

Justeru, saya meminta dan mencadangkan kepada semua pihak agar menjadikan Tahun Baru 2009 sebagai tahun untuk kita bersama-sama memerangi gejala sosial dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang aman damai dan bebas gejala sosial.

MOHD KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM
Presiden Persatuan
Mahasiswa Melaka Universiti Malaya