Spiga

PROGRAM OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT

TARIKH: 5 Mac 2009 - 8 Mac 2009

TEMPAT : Kampung Padang Kamunting, Pengkalan Balak Melaka

ANJURAN:PMAPIUM dengan kerjasama PERSAMA

Anda berminat untuk menyertai? Sila hubungi
Hidayat : 013-2007425 @ email: persama08@gmail.com

MELAHIRKAN MODAL INSAN


PEMBANGUNAN infrastruktur moden dan canggih yang dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. "Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan". Ini merupakan petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Rentetan daripada ucapan tersebut, saya melihat aspek kualiti pendidikan menjadi nadi utama bagi mencapai hasrat mewujudkan modal insan bermutu tinggi. Ini dikuatkan lagi dengan usaha kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Iaitu sistem pendidikan yang bukan hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu bersaing di pasaran kerja global semata-mata. Tetapi ia juga membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi.

Namun apa yang menyedihkan, masih lagi terdapat permasalahan asas yang belum dapat diselesaikan walaupun kerajaan menuju ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia.

Kenyataan salah seorang ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika membahaskan bajet 2009 harus diberi perhatian. Beliau mendedahkan hampir 400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum di Semporna tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas beberapa alasan, antaranya tidak memiliki MyKad.

Isu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga kerajaan negeri Sabah.

Walaupun isu ini dikatakan sebagai isu terpencil namun bagi saya pihak yang berkaitan bertanggungjawab menyediakan jalan penyelesaian bagi mengatasi permasalahan tersebut.

Antara alternatif yang dicadangkan, wakil KPM atau kerajaan negeri hendaklah bertemu dengan mereka bagi mengenalpasti secara keseluruhan masalah tersebut.

Jika faktor kemiskinan menghalang mereka untuk menduduki PMR dan SPM, maka pihak berkaitan hendaklah menyediakan bantuan kewangan yang secukupnya. Di peringkat JPN hendaklah mempertimbangkan permasalahan yang dihadapi. Jangan disebabkan isu kegagalan mengemukakan sijil pernikahan, menyebabkan pendidikan anak tergadai.

MOHD. KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Melaka (PERSAMA)
Universiti Malaya

PERSAMA Menyokong Penuh Perlantikan NC Baru Universiti Malaya


Persatuan Mahasiswa Melaka Universiti Malaya ( PERSAMA ) menyokong penuh perlantikan Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon selaku Naib Canselor Universiti Malaya yang baru. Profesor Datuk Dr. Gauth Jasmon merupakan Naib Canselor yang ke - 10 Universiti Malaya adalah bekas Presiden Universiti Multimedia (MMU). Sebelum beliau dilantik sebagai Presiden Universiti Multimedia, beliau merupakan bekas Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 1995 dan juga merupakan bekas Dekan Fakulti Kejuruteraaan Universiti Malaya.

PERSAMA berpendapat perlantikan beliau tepat berdasarkan kelayakan akademik dan komitmen yang ditunjukkan beliau dalam memajukan Universiti Multimedia ( MMU ) dari sebuah institut dinaik taraf sebagai salah sebuah universiti terkemuka dinegara ini. Disamping itu, perlantikan beliau juga boleh diibaratkan sebagai sirih pulang ke ganggang kerana beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaya.

Selain itu, PERSAMA juga ingin mengucapkan jutaan penghargaan kepada mantan Naib Canselor Universiti Malaya yang ke-9 Datuk Rafiah Salim atas komitmen dan usaha beliau bagi meningkatkan kedudukan Universiti Malaya yang agak sedikit merosot sebelum ini.

Mengimbau perlantikan Datuk Rafiah Salim sebagai Naib Canselor UM pada 1 Mei 2006 yang dianggap sebagai bersejarah kerana beliau merupakan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut, apatah lagi berkhidmat sebagai Naib Canselor di universiti paling berprestij di negara. Mungkin selama hampir 2 tahun setengah tidak banyak yang mampu dilakukan oleh beliau dalam menjadikan Universiti Malaya sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang ternama di peringkat antarabangsa dalam penyelidikan, inovasi, penerbitan dan pengajaran sebagaimana dalam visi Universiti Malaya.

Justeru, harapan diperingkat PERSAMA agar Naib Canselor Universiti Malaya yang baru dapat meneruskan legasi beliau disamping penambahbaikan dari sudut hubungan komunikasi dan kebajikan warga Universiti Malaya. PERSAMA juga memohon pertimbangan diperingkat Kementerian Pengajian Tinggi ( KPT ) agar perlantikan Naib Canselor yang baru ini dipanjangkan tempoh pentadbiran supaya segala perancangan yang direncanakan dapat difahami serta dihayati seterusnya dapat diaplikasikan dalam bentuk yang lebih sistematik dan efektif.

Mohd Khairul Hidayat Berahim
PRESIDEN
Persatuan Mahasiswa Melaka
Universiti Malaya ( PERSAMA )