PEMBANGUNAN infrastruktur moden dan canggih yang dinikmati negara ini tidak membawa makna sekiranya pembangunan modal insan diketepikan. "Dalam konteks dunia global, modal insan bermutu tinggi satu keperluan, bukan lagi kemewahan". Ini merupakan petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Rentetan daripada ucapan tersebut, saya melihat aspek kualiti pendidikan menjadi nadi utama bagi mencapai hasrat mewujudkan modal insan bermutu tinggi. Ini dikuatkan lagi dengan usaha kerajaan untuk membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia. Iaitu sistem pendidikan yang bukan hanya tertumpu kepada pembangunan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran yang mampu bersaing di pasaran kerja global semata-mata. Tetapi ia juga membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi.
Namun apa yang menyedihkan, masih lagi terdapat permasalahan asas yang belum dapat diselesaikan walaupun kerajaan menuju ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia.
Kenyataan salah seorang ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ketika membahaskan bajet 2009 harus diberi perhatian. Beliau mendedahkan hampir 400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bum-Bum di Semporna tidak dapat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atas beberapa alasan, antaranya tidak memiliki MyKad.
Isu ini perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya di peringkat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga kerajaan negeri Sabah.
Walaupun isu ini dikatakan sebagai isu terpencil namun bagi saya pihak yang berkaitan bertanggungjawab menyediakan jalan penyelesaian bagi mengatasi permasalahan tersebut.
Antara alternatif yang dicadangkan, wakil KPM atau kerajaan negeri hendaklah bertemu dengan mereka bagi mengenalpasti secara keseluruhan masalah tersebut.
Jika faktor kemiskinan menghalang mereka untuk menduduki PMR dan SPM, maka pihak berkaitan hendaklah menyediakan bantuan kewangan yang secukupnya. Di peringkat JPN hendaklah mempertimbangkan permasalahan yang dihadapi. Jangan disebabkan isu kegagalan mengemukakan sijil pernikahan, menyebabkan pendidikan anak tergadai.
MOHD. KHAIRUL HIDAYAT BERAHIM
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Melaka (PERSAMA)
Universiti Malaya
0 comments:
Post a Comment