KUALA LUMPUR: Semua 1.04 juta peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN), perlu me-ngemas kini alamat masing-masing untuk membolehkan mereka menikmati penurunan kadar caj perkhidmatan kepada hanya satu peratus mulai 1 Januari 2009.
Peminjam yang gagal berbuat demikian, berdepan risiko terus dikenakan caj pinjaman pada kadar lama iaitu sebanyak tiga peratus atau lima peratus, jika surat tawaran perjanjian baru yang mengandungi pengurangan caj itu tidak sampai kepada mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, berkata peminjam perlu mengemas kini alamat untuk memastikan surat tawaran perjanjian baru yang akan dihantar mulai Januari ini, sampai kepada mereka untuk ditandatangani secepat mungkin.
"PTPTN ingin menegaskan bahawa peminjam hanya akan menikmati caj pinjaman pada kadar satu peratus selepas menandatangani surat perjanjian baru itu dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan kadar lama.
"Jadi, jika selepas ini peminjam masih dikenakan kadar caj lama, jangan salahkan PTPTN kerana mereka sendiri bersikap sambil lewa dan tidak mengemas kini alamat walaupun tempoh cukup panjang sudah kita diberikan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini.
Baru-baru ini, kerajaan mengumumkan penurunan caj perkhidmatan PTPTN kepada hanya satu peratus, berbanding tiga peratus bagi pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda, serta lima peratus untuk pelajar ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) sebelum ini.
Keputusan itu dibuat selepas Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj yang dikenakan PTPTN hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya membantu peminjam membiayai pengajian sekali gus tidak membebankan mereka.
Yunos berkata, PTPTN kecewa kerana masih ramai peminjam bersikap sambil lewa mengemas kini alamat atau membayar balik pinjaman dan ia terbukti kerana jumlah kutipan dicatatkan mencatat penurunan mendadak walaupun kerajaan sudah mengumumkan penurunan caj.
"Perkara ini mungkin berlaku kerana peminjam mengambil sikap tunggu dan lihat, termasuk menunggu surat perjanjian baru. Tetapi ingin saya tegaskan caj pinjaman hanya diturunkan selepas mereka menandatangani dokumen itu," katanya.
0 comments:
Post a Comment